Wednesday, July 13, 2011

Karnival Kesihatan Mukim Kijal



KARNIVAL KESIHATAN BERSAMA MASYARAKAT PERINGKAT MUKIM KIJAL.

Panel Penasihat Klinik Kesihatan Kijal Pemangkin Kerjasama Meningkat Tahap Kesihatan Penduduk.

Kijal - Karnival Kesihatan bersama Masyarakat yang julung-julung kali diadakan di Kijal telah mendapat sambutan lebih daripada 500 penduduk Kijal. Program yang telah dianjurkan oleh Penel Penasihat Kijal telah berlangsung selama 3 hari bermula dari 6 Julai dan berakhir 9 Julai telah dirasmikan oleh Dr. Iza Noor Ruaida bt. Deraman, Pegawai Perubatan dan Kesihatan Klinik Kesihatan Kijal mewakili Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman.

Dr. Iza dalam ucapannya telah melahirkan perasaan amat gembira diatas kerjasama dari ahli-ahli panel penasihat klinik, agensi-agensi kerajaan dan penaja dalam mempastikan kejayaan program ini. Beliau amat bersyukur walaupun banyak halangan telah ditempuhi namum akhirnya program ini telah mencapai objektifnya. Beliau berkata tujuan utama karnival ini adalah bagi mempromosi program-program kesihatan dan mendapat penglibatan yang aktif dari semua pihak terutama masyarakat Kijal dalam penjagaan kesihatan yang baik. Pelbagai kemudahan dan perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh pihak kerajaan sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

Karnival ini merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh panel penasihat yang terdiri pemimpin-pemimpin masyarakat dan individu yang merupakan badan penasihat kepada Klinik Kesihatan kijal. Program ini juga sebagai satu sahutan kerajaan bagi mendekati dan memahami kehendak masyarakat dan seterusnya memberi perkhidmatan “turun padang” kepada penduduk.

Terdahulu dalam ucapan pengerusi panel penasihat, En. Mohd Yusof Muhamad telah menyeru kepada penduduk agar dapat menjaga kesihatan dan membuat pemeriksaan secara berkala di kemudahan kesihatan yang telah disediakan. Masalah penyakit akan timbul mengikut perubahan usia seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya. “Jika tiada kesedaran yang tinggi dalam penjagaan kesihatan dan amalan hidup yang sihat maka penyakit-penyakit ini akan mudah dihidapi oleh kita”

Pada Majlis ini beliau bersama pengerusi panel penasihat dan penghulu mukim Kijal telah menyempurna majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang hadiah yang dipertandingkan. Pelbagai aktiviti telah diadakkan seperti Forum Kesihatan, ceramah kesihatan, senamrobik, pameran kesihatan, persembahan kebudayaan, pertandingan rumah sihat, pertandingan mewarna, pertandingan memasak, pakaian beragam, sukaneka, bola jarring dan bola sepak. Selain itu masyarakat Kijal juga berpeluang menjalani pemeriksaan darah bagi pemeriksaan penyakit Filiriasis (untut) dan pameran mengenainya yang disediakan . Menurut Dr. Iza program pemberian ubat filiriasis telah dijalankan sejak bulan April yang lepas di Kawasan Kijal dan Ulu Chukai bagi membasmi penyakit ini. Beliau berharap penduduk di kawasan mukim ini dapat memberi kerjasama dalam program filiriasis terutama dalam pengambilan ubat dan pemeriksaan darah yang dijalankan disebelah malam di kawasan mukim ini.


Sunday, April 10, 2011

ROADSHOW TIBI 2011


“ROAD SHOW” SEMPENA SAMBUTAN BULAN KESEDARAN TIBI SEDUNIA
PERINGKAT DAERAH KEMAMAN


Kemaman - Unit TB /Kusta Pejabat Kesihatan Kemaman dengan kerjasama
Kelab Motosikal berkuasa tinggi Samurai Seven Bikers Brotherhood (S7) telah
menjayakan kempen sempena sambutan bulan Tibi Sedunia peringkat Daerah Kemaman
yang telah berlangsung pada 09/04/2011 . Sebanyak 10 buah motosikal berkuasa tinggi
berkonvoi bersama 4 buah kenderaan Pejabat Kesihatan Kemaman menjalankan “road show”
kempen tersebut di hentian terpilih bermula dari Kompleks Membeli belah Casa Limbung Chukai,
Pasaraya Giant Kijal dan berakhir di Mesra Mall Kemasek. Program ini telah melibatkan hampir
30 orang petugas terdiri daripada kakitangan kesihatan, hospital dan badan sukarela.

Dr. Norafidah Rashid dari Unit TB/Kusta Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah turut
sama menjayakan program ini dan menyempurnakan hadiah kepada pemenang kuiz
di hentian terakhir di Mesra Mall Kemasek.

Objektif program adalah bagi kesedaran kepada masyarakat supaya bertindak segera dan
bersama memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal Tibi supaya
tidak menjadi masalah kesihatan utama di kalangan masyarakat. Penyertaan dan kerjasama
dari badan sukarela ini dan sektor korporat dari pelbagai pihak ini dapat membantu
Kementerian Kesihatan mempromosi dan menyedarkan kepada orang awam tentang
bahayanya penyakit ini.
Penyertaan ahli-ahli Kelab bermotor ini adalah sebagai memenuhi tanggungjawab sosial
dan memenuhi aktiviti berfaedah selain dapat memberi sumbangan kepada masyarakat
dengan menyebarkan maklumat berkaitan penyakit tibi. Kesedaran semua pihak samada
di pihak kerajaan dan rakyat dalam mengambil langkah-langkah segera melibatkan aktiviti
pencegahan, pengesanan, rawatan dan kawalan Tibi perlu ditekankan agar semua pihak
bertanggungjawab memainkan peranan yang lebih berkesan bagi mengurangkan gejala Tibi ke
tahap paling minima di seluruh Malaysia.
Program yang telah diadakan bermula 10 pagi dan berkahir jam 2.00 petang dipenuhi aktiviti
hebahan awam, pameran, kuiz kesihatan, dialog bersama orang ramai dan pengedaran risalah tibi
disetiap hentian . Program ini telah mendapat sambutan hangat dimana sebanyak 2000 risalah telah
diedarkan dan 200 hadiah kuiz telah diberikan kepada pemenang. Objektif program ini telah mendapat
mencapai matlamatnya dimana hampir 5000 pengunjung telah mendapat maklumat berkaitan penyakit ini.

Pemberita : Mohd Rosli b. Abd Wahab

Wednesday, January 5, 2011

Bubur Asyura




Majlis Asyura berlangsung di Klinik Kesihatan Kemaman pada 23 Disember 2010.
Seramai 100 org kakitangan PKD Kemaman menjayakan program tersebut