Wednesday, April 11, 2012

SAMBUTAN BULAN KESEDARAN TIBI PERINGKAT DAERAH KEMAMAN






Pengesaan dan Rawatan Awal Dapat Mencegah Penyakit Tibi

Chukai - Pada 24 Mac setiap tahun, Hari Tibi Sedunia disambut serentak di seluruh dunia dengan pelbagai tema dan mesej utama. Pada tahun ini, tema Sambutan Hari Tibi Sedunia ialah “ke arah Membanteras Tibi: Hidup tanpa Tibi” .

Bersesuaian dengan sambutan ini, Pihak Pejabat Kesihatan Kemaman telah memperhebatkan kempen kesedaran ini sepanjang bulan Mac dengan pelbagai aktiviti kesedaran penyakit ini kepada orang ramai. Pelbagai program telah diatur dan telah berjalan diantaranya adalah Kempen Pengesanan secara aktif kontek-kontek kes yang mempunyai tanda-tanda di Kawasan Perumahan Kg. Dusun Nyiur dan di Kawasan Felda Cherul Kemaman.

Menurut Dr. Masran b. Mohamad, Pegawai Kesihatan Daerah setiap individu perlu peka terhadap tanda-tanda penyakit ini seperti batuk, demam, susut berat badan yang ketara dan berpeluh pada waktu malam. Mereka yang menghidap kencing manis, perokok dan mengambil alkohol secara berlebihan mempunyai risiko yang tinggi mendapat jangkitan penyakit ini. Justeru itu, beliau meyarankan individu yang mempunyai satu daripada tanda-tanda tersebut atau mempunyai risiko tinggi menghidap penyakit perlu mendapatkan pemeriksaan kesihatan dengan segera. Tindakan ini amat penting supaya rawatan awal dapat dimulakan dan perebakan jangkitan dapat dicegah. Setiap individu yang mendapatkan rawatan harus mematuhi arahan regim rawatan dalam jangkamasa sekurang-kurangnya 6-8 bulan. Adalah amat merbahaya sekiranya pesakit tidak mengambil ubatan seperti yang diarahkan kerana ini akan mengakibatkan kuman Tibi kebal terhadap ubat.

Penyakit Tibi boleh membawa maut sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan yang sempurna manakala rawatan sempurna boleh menyembuhkan pesakit Tibi. Rawatan sempurna juga dapat menjamin jangkitan tersebut tidak disebarkan kepada orang lain. Kerajaan Malaysia telah memberi komitmen yang tinggi dengan memastikan rawatan Tibi adalah percuma di semua klinik dan Hospital kerajaan.

Bagi memperhebatkan kempen kesedaran ini juga, Program “Road Show Tibi” juga telah dijalankan di berapa tempat tumpuan awam seperti Pasar Besar Chukai, Perhentian Bas Chukai, Restoran Makanan Segera Mcdonald Kerteh, Pasaraya Giant Kijal dan Komplek Membeli Belah Casa Limbung Chukai. Sebanyak 5000 risalah berkaitan Tibi telah diedarkan kepada orang ramai di pameran bergerak dan kuiz penyakit tibi yang telah diadakan disetiap destinasi. Menurut beliau lagi, Majlis sambutan penutup bulan Kesedaran Tibi peringkat Daerah Kemaman akan diadakan pada 12/04/2012 bertempat di Majlis Perbandaran Kemaman. Satu seminar berkaitan penyakit ini akan diadakan dengan melibatkan anggota kakitangan kerajaan dan swasta. Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai seminar yang diadakan ini.

Beliau menyeru, Sokongan dan kerjasama bersepadu dari pelbagai pihak iaitu ahli keluarga, rakan sekerja, pengamal perubatan, pemimpin masyarakat dan masyarakat umum secara keseluruhannya adalah sangat penting di dalam usaha untuk mengawal dan mencegah penularan kuman Tibi di negara ini, sekaligus berupaya menjamin kesihatan rakyat tanpa Tibi.